You are here
AIDIL AZIZ teruja kembali ke lokasi Hiburan Tempatan 

AIDIL AZIZ teruja kembali ke lokasi

PENGHUJUNG tahun lalu, nama pelakon Aidil Aziz,30 hangat diperkatakan kerana tuduhan mengedar dadah. Aidil bernasib baik kerana kes tersebut telah pun digugurkan setelah dia didapati tidak bersalah.

Selepas peristiwa itu Aidil akui merasa bimbang untuk kembali berlakon. Dia takut peminat serta pihak produksi tidak akan menerima kehadirannya dalam industri. Bagaimanapun pelakon yang popular dengan drama Saiful Nita ini bersyukur kerana masih diberi ruang dan kesempatan untuk berkarya.

“Ada juga terfikir untuk berhenti berlakon, namun selepas peristiwa itu banyak tawaran yang datang. Mungkin ada yang sengaja mahu mengambil kesempatan disebabkan kes tersebut atau benar-benar mahu beri peluang.

“Saya hanya melihat dari sudut positif dan ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Bagaimanapun saya menolak tawaran berlakon sebelum ini kerana belum bersedia.

“Sepanjang tempoh rehat saya menjalankan perniagaan secara online. Saya kembali berlakon setelah merasakan perniagaan sudah stabil,” ujar Aidil.

Apa yang berlaku memberi pengajaran besar buat Aidil sekali gus menjadikan dirinya lebih matang. Tidak mahu ambil pusing kata-kata orang sekeling, menurut Aidil lebih penting dia dekatkan diri dengan Tuhan dan keluarga.

“Bukan mudah untuk menjaga hati semua orang. Saya harap orang ramai akan tahu kebenarannya suatu hari nanti. Sekarang saya lebih dekatkan diri dengan Allah dan keluarga.

“Saya juga lebih berhati-hati memilih kawan serta menghargai orang sekeliling. Setelah apa yang terjadi ramai kawan yang dulunya rapat kini menghilangkan diri.

Memulakan kembali lembaran kerjaya seni, Aidil menerima tawaran  berlakon dalam drama 40 episod berjudul Vila Ghazara. Drama arahan Feroz Kader ini turut menampilkan pelakon lain seperti Shukri Yahaya, Azira Shafinaz, Mustpha Kamal, Haleeda, Elly Mazlien, Syed Aiman, Aidil Aziz, Tunku Hanis, Hafeez Mikail dan Amirul Faqeem.

“Setelah lama tidak ke lokasi saya rasa gementar dan teruja untuk kembali berlakon. Saya sendiri tidak sangka dapat diterima semula dan semua kru produksi banyak membantu ketika di lokasi.

“Drama ini adalah kemunculan pertama saya selepas berehat panjang. Saya perlu bekerja keras dan ini adalan masa untuk kembali fokus dan move on.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai bekas juruterbang yang diberhentikan kerja dan tinggal bersama keluarga. Kehidupan saya kemudian diatur oleh ibu bapa kerana tinggal sebumbung.

“Cabaran berlakon drama ini adalah setiap hari saya bergaduh dengan isteri (watak Tunku Hanis) keraja perubahan hidup kami,” cerita Aidil yang ditemui di lokasi penggambaran.

Aidil bergandingan dengan Tunku Hanis sebagai pasangan suami isteri dalam Vila Ghazara. FOTO: IZWAN ZAINAL.

Related posts

Leave a Comment