You are here
Album beri semangat untuk terus hidup – IR RADZI Hiburan Tempatan 

Album beri semangat untuk terus hidup – IR RADZI

PENYANYI Ir Radzi kini muncul dengan album sulung berjudul Sempurna. Album yang mengandungi lapan buah lagu itu adalah perkongsian perjalanan kerjaya seni Ir sejak mula bergelar penyanyi sekitar tahun 2015.

“Memang niat dan impian saya untuk mengeluarkan album sendiri sejak awal lagi. Beberapa tahun dalam industri saya sudah tahu identiti dalam muzik dan mendapat penerimaan baik peminat. Jadi saya yakin untuk hasilkan album pertama ni.

“Album ini mengisahkan tentang perjalanan kerjaya seni saya. Judul Sempurna itu membawa maksud segala perasaan sedih dan gembira yang pernah saya lalui selama ini. Album ini juga memberi semangat untuk saya teruskan hidup.

Istimewa dalam album ini, Ir turut menulis sebuah lagu yang didedikasikan buat arwah bapanya, Jamali Ellen yang meninggal dunia pada Ogos 2016.

“Arwah bapa antara orang yang banyak memberi sokongan dalam kerjaya. Semasa arwah masih hidup, dia pernah meminta saya hasilkan sebuah lagu untuknya. Namun ketika itu saya tidak tahu lagu apa yag sesuai.

“Dalam album ini saya ciptakan sebuah lagu berjudul Cinta Terakhir yang didedikasikan buat arwah bapa. Jalan cerita lagu tersebut menggambarkan perasaan dan sokongan arwah bapa selama ini,” cerita pemilik nama penuh Mohamad Shah Riadzi Jamali Ellen ini.

Awal kemunculan dahulu, nama Ir cukup dikenali menerusi lagu Sempurna Waktu. Namun kelibatnya seakan tengelam timbul sehingga ada yang anggap Ir hilang di persada seni.

Ir sedar mungkin sukar untuk kembali menambat hati peminat. Apa lagi semakin ramai artis muda yang sudah mencipta nama.

“Saya serahkan kepada peluang dan rezeki untuk kembali. Saya hanya menikmati kehidupan sementara masih dikurniakan kesihatan untuk menyanyi. Dalam masa sama saya juga akan cari hala tuju yang betul untuk pasarkan album ini.

“Sebenarnya saya tidak pernah berhenti menyanyi, Cuma mungkin jarang muncul di mana-mana majlis dan program televisyen sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Saya masih aktif menyanyi di Kuching.

“Selepas bapa meninggal dunia, saya rasakan perlu dekat dengan ibu dan mengambil keputusan untuk tinggalkan Kuala Lumpur sementara waktu. Banyak urusan keluarga yang perlu diselesaikan.

“Saya harap dengan kemunculan album pertama ini, saya akan terus aktif menyanyi dan mengejar segala peluang untuk menempatkan nama dalam industi,” ujar Ir.

Related posts

Leave a Comment