You are here
ANDI BERNADEE manfaatkan musim viral Hiburan Tempatan 

ANDI BERNADEE manfaatkan musim viral

KUASA tular di media sosial telah menaikkan nama penyanyi Andi Bernadee. Hampir setahun bergelar artis, kini Andi mula mendapat perhatian peminat selepas tular dengan video lagu Tak Tun Tuang.

Pemilik nama penuh Andi Azrul Andi Mapangile,26 ini menganggap ini adalah masa terbaik untuk teruskan meningkatkan populariti nama sendiri sekali gus memperkenalkan lagunya kepeda khalayak. Andi telah pun melancarkan single pertama berjudul Tiada Lagi Maaf ciptaan bersama ND, pada Mac lalu.

“Bukan senang sebenarnya untuk dapat pendedahan sebegini. Sekarang orang mula sedar saya seorang penyanyi dan ada lagu sendiri. Jadi inilah masa terbaik untuk saya serlahkan bakat sebenar.

“Saya tidak tahu sampai bila kuasa viral ini akan bertahan. Sementara peminat masih mahukan saya, kenalah kerja keras. Biar penat sekali pun, saya perlu manfaatkan musim tengah viral ini untuk mempromosikan diri.

“Sebagai seorang artis, saya anggap diri ini masih bayi. Setakat ini ada beberapa pengalaman manis saya tempuhi dan sedar masih banyak cabaran di masa akan datang.

“Sebelum bergelar artis lagi saya sudah bersedia dengan segala dugaan. Pastinya akan ada yang kecam kerana sekarang ini media sosial sangat berpengaruh,” ujar Andi.

Awal pembabitan sebagai artis, Andi akui pernah berputus asa apabila merasa sukar untuk meraih tumpuan peminat. Namun dia tidak mahu cepat mengalah kerana sejak kecil lagi dia telah memasang impian untuk bergelar artis.

“Apabila lagu saya mula dilancarkan, susah untuk mencapai ratusan ribu penonton di Youtube. Apa lagi untuk dimainkan di stesen radio. Pernah juga rasa kecewa dan putus asa.

“Saya berdoa pada Tuhan agar kuatkan semangat serta tunjukkan jalan yang betul. Jika ada rezeki menjadi artis saya akan teruskan. Jika tidak, mungkin saya akan fokus pada perniagaan sendiri.

“Saya juga tidak pernah anggap terlambat untuk bergelar artis pada usia sekarang ini. Saya percaya pada diri sendiri dan ini adalah masa terbaik untuk saya,” ujar Andi.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment