You are here
Datuk Rosyam Nor tolak drama kekalkan eksklusif Hiburan Tempatan 

Datuk Rosyam Nor tolak drama kekalkan eksklusif

LEBIH 20 tahun berada dalam industri seni, nama Datuk Rosyam Nor terus kekal dihati peminat. Biarpun semakin ramai bakat muda, namun Rosyam antara yang masih menjadi pilihan sebagai teraju utama filem dan drama.

Tidak kenal erti penat, Rosyam juga dalam masa sama tidak terfikir untuk memperlahkan kerjaya meski kini usia sudah mencecah 50 tahun. Bagi hero filem KL Menjerit ini, jenama Rosyam harus dikekalkan sebagai penghargaan buat peminat.

“Ini adalah apa yang saya minta dan sudah menjadi tanggungjawab. Jadi tiada istilah penat untuk terus memberikan sesuatu buat industri. Selagi diterima peminat, saya akan terus berlakon.

“Kehadiran ramai bakat baharu sekarang ini membuatkan saya sentiasa berfikir bagaimana untuk kekalkan jenama Rosyam dalam industri. Mencari populariti memang mudah, namun mempertahankannya adalah sukar.

“Dalam perjalanan kerjaya saya juga pernah gagal, namun orang ramai tidak nampak. Saya mahu beri inspirasi kepada lebih ramai peminat di luar sana.

“Pastinya apabila sudah berjaya, saya tidak mahu nama saya jatuh. Sebab itu saya cari jalan terbaik untuk kekalkan kerjaya. Saya berhenti berlakon drama dan hanya terlibat dalam filem untuk kekalkan eksklusif,” ujar Rosyam.

Tentang perkembangan kerjaya seni, tiga filem lakonan beliau berjudul KL Special Force, Lee Chong Wei dan Motif bakal berada di pawagam tahun ini. Rosyam juga bakal terlibat dalam filem Tailong arahan Syamsul Yusof.

Selain itu, beliau juga bakal melancarkan pasaran sendiri iaitu ST Rosyam Mart yang beroperasi di Setiawang, Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment