You are here
FAIZAL AF duda kali ketiga Hiburan Tempatan 

FAIZAL AF duda kali ketiga

PENYANYI yang juga merupakan juara Akademi Fantasi musim ke-4, Faizal,33, memberitahu dia kini kembali menduda setelah berpisah dengan bekas isterinya, Sahidatul Najiha hujung tahun lalu. Ini merupakan perceraian ketiga buat Faizal.

Faizal melafazkan ceria terhadap Sahidatul pada 12 Disember 2016 dan kes mereka masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah. Pasangan ini berkahwin pada 2015 dan telah dikuniakan seorang anak bernama, Nur Hanna Maleeka yang kini berusia sembilan bulan.

“Siapa yang mahu berkahwin dan bercerai banyak kali? Kalau boleh biarlah hanya sekali dalam hidup. Ini adalah satu perjalanan hidup yang perlu saya lalui.

“Saya maafkan bekas isteri dan terima dengan redha apa yang telah berlaku. Saya jadikan ini sabagai satu pengalaman yang bermanfaat di masa akan datang,” jelas Faizal.

Bercerita tentang punca keretakan rumah tangga mereka, kata Faizal bukan mudah mencari seseorang yang boleh menerima dirinya serta campur tangan pihak ketiga boleh mengganggu kebahagiaan mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, tidak mudah mencari seseorang yang boleh menerima saya serta kerjaya saya. Mungkin bekas isteri sukar untuk memahami perjalanan seorang artis.

“Saya sudah lakukan sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Namun jika ini adalah ketentuan Ilahi, saya terima.

“Selama ini saya hanya berdiam dan tidak ceritakan kepada sesiapa kerana masih bersedih. Malah sehingga kini ada sedikit rasa kecewa.

“Namun saya tidak mahu perasaan tersebut berlarutan sehingga mengganggu perjalanan kerjaya. Saya hanya fikir positif dan kembali bangkit. Bahaya jika terlalu memikirkan kekecewaan tersebut,” cerita Faizal ketika bertemu INSTA ONLINE di pejabat urusan Utusan Karya Sdn Bhd.

Faizal sebelum ini pernah berkahwin dengan isteri pertama pada tahun 2009 namun bercerai empat tahun kemudian. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia lapan tahun. Kemudian Faizal berkahwin semula pada tahun 2013 namun bertahan hanya dua tahun.

Tiga kali bercerai tidak membuatkan Faizal takut menerima kehadiran wanita di masa akan datang. FOTO: SHAHRIL AZMAN ZAIN.

Bercerita soal perkembangan kerjaya seni, Faizal kini sedia untuk kembali aktif di pentas nyanyian. Malah dia dalam proses merakamkan lagu baharu yang mendapat sentuhan komposer Indonesia, Ari Surilanto. Kali terakhir Faizal melancarkan lagu adalah pada tahun lalu berjudul Tanpa Dirimu.

Related posts

Leave a Comment