You are here
Ini jiwa saya – HAZAMA Hiburan Tempatan 

Ini jiwa saya – HAZAMA

PENYANYI Hazama tampil dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Dewa. Lagu ini merupakan sentuhan Hazama sendiri yang bekerjasama dengan Taja, manakala lirik pula ditulis oleh Ad Samad.

Membawakan genre progresif pop rock, kataHazama dia cuba untuk memberi kelainan dan dalam masa sama menunjukkan jiwanya yang sebenar dalam muzik. Ini merupakan single kedua Hazama tahun ini selepas Aku Yang Sebenar yang dilancarkan April lalu.

“Karya ini mempamerkan kehebatan Ad Samad dalam menghasilkan lirik yang cukup mendalam, diulit pula dengan keindahan muzik hasil sentuhan kerjasama saya dan Taja.

“Dalam masa yang sama rakan baik saya sendiri, Altimet, hadir menyumbangkan gegaran rap kreatif beliau bagi melengkapkan nukilan ini. Hasilnya, sempurnalah Aku Bukan Dewa istimewa untuk peminat-peminat saya.

“Lagu ini saya anggap sangat dekat dengan diri saya kerana ia menceritakan tentang semangat juang saya dalam industri muzik. Dari hari pertama saya bertapak dalam industri, pelbagai ranjau terpaksa saya tempuhi sebelum saya berada pada tahap sebegini.

“Menariknya lagi, pendekatan genre muzik yang saya ambil pada kali ini iaitu progresif pop rock, berlainan dari konsep pop balada yang saya bawa selama ini. Saya ingin lari dari zon selesa dan menampilkan kelainan.

“Ini sebenarnya adalah jiwa saya dan pada kali ini, saya akan membawa peminat menyelami aliran sebenar muzik, dalam dunia saya,” ujar Hazama.

Memberi kelainan dalam lagu baharu ini, Hazama akui sedikit bimbang dengan penerimaan peminat. Bagi penyanyi yang popular dengan lagu seperti Malaikat dan Penglipur Lara ini, dia mahu menjadi seorang yang versatil dan terus relevan dalam industri.

“Saya tidak mengalami sebarang kesulitan dari aspek vocal kerana saya menyukai dan sangat teruja dengan lagu ini. Justeru, semangat untuk mempersembahkannya dengan sebaik mungkin datang secara semulajadi.

“Tetapi, saya merasakan, cabaran itu mungkin hadir di saat ingin memenangi hati peminat terutamanya mereka yang selama ini terbiasa dengan lagu-lagu saya yang berentak pop balada.

“Saya perlu tampil versatil dan terus berkarya dalam industri untuk kekal relevan. Saya ingin terus menghiburkan peminat yang sentiasa setia di belakang saya. Saya berharap, peminat saya mampu menerima kelainan ini dengan hati terbuka,” jelas Hazama.

Lagu ini diterbaikan oleh Recketfuel Entertainment Sdn Bhd dan kini boleh didengar menerusi aplikasi atas talian seperti Raku, Spotify. Joox dan Apple Music selain siaran radio pilihan peminat.

 

Related posts

Leave a Comment