You are here
Janji AKIM & THE MAJISTRET buat peminat Singapura Buletin Hiburan 

Janji AKIM & THE MAJISTRET buat peminat Singapura

KUMPULAN Akim & The Majistret buat pertama kali bakal melangsungkan konsert berskala besar di Singapura pada 26 Januari 2018. Konsert bertempat di Esplanade, Singapura itu merupakan anjuran Adi Media Pte Ltd.

Sebelum ini, Akim & The Majistret pernah mengadakan persembahan di negara jiran itu sempena Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran pihak sama. Sambutan hangat peminat ketika itu membuatkan pihak penganjur yakin lebih ramai yang akan hadir pada Januari nanti.

Dalam masa sama, pengasas Adi Media, Nur Dian Mohamad Rashid berkata, konsert berkenaan adalah hadiah kepada peminat Akim & The Majistret terutama dari Singapura yang tidak dapat hadir ke konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Februari lalu.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong mereka,

“Ramadan lalu, mereka mengadakan persembahan di Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran kami. Walaupun hanya membawa dua lagu secara akustik, tetapi peminat yang hadir cukup ramai.

“Saya yakin peminat Akim & The Majistret di Singapura ternanti-nantikan kehadiran mereka,” ujar Dian.

Sementara itu kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti Potret, Mewangi dan Obses ini meluahkan rasa teruja apabila diberi kesempatan untuk menghiburkan peminat di sana. Mereka pastikan akan memberikan satu persembahan terbaik sebagai penghargaan buat peminat di sana.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Kami yakin peminat di Singapura tidak akan kecewa,” ungkap kumpulan tersebut.

Tiket-tiket berharga SGD148 (Kategori 1), SGD108 (Kategori 2), SGD88 (Kategori 3), SGD66 (Kategori 4), SGD48 (Kategori 5 – restricted view), SGD88 (Kategori 6 -restricted view) dan SGD68 bolehdibelisecara online di www.apactix.com.

Bagi pembeli tiket Kategori 1, mereka berpeluang menghadiri sesi meet & greet bersama Akim & The Majistret.

 

 

Related posts

Leave a Comment