You are here
KEHEBATAN HERBA UNTUK KESIHATAN Trend 

KEHEBATAN HERBA UNTUK KESIHATAN

HERBA yang digunakan seharian sebagai bahan masakan juga sebenarnya baik untuk kesihatan. Menurut Profesor Madya Dr. Hawa Jaafar, pensyarah di Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia (UPM), herba dapat membantu merawat penyakit-penyakit ringan.

Penggunaan herba tidak hanya terhad pada satu bahagian sahaja. Buah, daun, akar sehinggalah kulit. Semua bahagian pokok herba boleh membawa kebaikan kepada kita semua. Berikut adalah beberapa jenis herba dan manfaatnya.

BAWANG PUTIH

Bawang putih merupakan agen pencegah demam selesema. Jika anda mula rasa tidak sedap badan, amalkan makan bawang putih. Minyak bawang putih boleh digunakan untuk merawat psoriasis dan merendahkan paras koleterol. Campurkan bawang putih yang dihancurkan dalam bekas air suam dan rendamkan kaki anda sebagai rawatan antifungal.

ALOE VERA

Gel aloe vera boleh merawat luka, kesan calar, ruam dan masalah alahan kulit. Ia boleh juga mengurangkan rasa pedih pada muka akibat sunburn. Minum jus aloe vera dapat merawat masalah pencernaan.

HALIA

Teh halia boleh membantu mengurangkan sakit kepala dan mengurangkan rasa mual serta masalah ketidakhadaman. Halia juga baik untuk menguruskan badan dan mengatasi masalah perut buncit. Selain itu ia mengandungi zink, kromium dan magnesium yang memperbaiki saliran darah serta membantu mengelakkan kesejukan, peluh berlebihan dan demam.

KULIT KAYU MANIS

Kunyah sedikit kulit kayu manis untuk menghentikan selesema atau campurkan dalam susu dan minum untuk tujuan sama. Air rebusan kulit kayu manis dan halia juga sesuai untuk wanita yang mengalami masalah senggugut. Berkumur dengan air kulit kayu manis boleh membantu menghilangkan sakit gusi dan masalah nafas berbau.

LADA HITAM

Lada hitam boleh mengubati pening kepala, cirit birit dan melawaskan kencing. Caranya, rebus dua sudu buah lada hitam yang telah dibersihkan dengan dua cawan air, kemudian tapis sebelum minum. Daun lada hitam boleh merawat demam panas. Sapukan sahaja pada dahi daun yang telah ditumbuk halus.

SERAI

Pengambilan teh serai ketika sedang haid dapat mengurangkan gejala senggugut dan mual. Minum serbat (air rebusan) serai ketika hari panas dapat membantu menyejukkan badan. Teh serai juga membantu mengatasai gangguan pencernaan, sakit perut, masuk angin dan cirit birit. Serai mencegah pembentukan asid berlebihan dalam badan.

JINTAN

Antara khasiat teh jintan manis termasuk merawat usus, mengatasi masalah kembung perut dan rawat insomnia. Selain itu kadar serat yang tinggi mencegah berlaku buasir dan kanser usus.

LENGKUAS

Daun lengkuas boleh membantu menghilangkan panau. Tumbuk beberapa helai daun lengkuas, ambil air dan sapukan di kawasan panau. Selain itu dengan mengunyah beberapa hiris lengkuas dapat mencegah mabuk laut dan rasa mual. Lain-lain khasiat lengkuas termasuk menurunkan kandungan lipid, risiko reumatik, pertahankan keremajaan kulit dan merawat rambut.

KACIP FATIMAH

Air rebusan akar dan daun kacip fatimah elok untuk wanita sebelum bersalin bagi membantu menegangkan dan mengencangkan otot perut serta vagina. Selepas bersalin minum air rebusan daun kacip fatimah untuk mengimbangi hormon dan menghilangkan kemurungan.

DAUN PANDAN

Air rebusan daun pandan boleh mengurangkan tekanan darah tinggi, kegelisahan, masalah saraf, mencegah paras gula yang tinggi dalam darah, melancarkan haid, mencegah penuaan, melancarkan buang air besar dan menambahkan nafsu makan. Bauan daun pandan bertindak sebagai ubat penenang, mengatasi insomnia dan tekanan. Hirisan pandan bersama minyak kelapa boleh meringankan gejala reumatik.

SUMBER: MAJALAH I-SIHAT
GAMBAR: GOOGLE IMAGE

Related posts

Leave a Comment