You are here
MIN YASMIN tengah panas di Filipina Hiburan Tempatan 

MIN YASMIN tengah panas di Filipina

KEJAYAAN album pertama di Filipina mendorong penyanyi Min Yasmin untuk terus fokus kembangkan kerjaya di sana. Pada tahun 2015, Min tampil dengan album kolaborasi berjudul 2 Voices bersama penyanyi di sana iaitu Nikki Bocolod.

“Lagu berjudul Sa Iyo dalam album terdahulu berjaya menduduki carta-carta radio di Filipina. Itu mendorong saya untuk keluarkan album kedua dan kali ini saya tampil dengan album solo berjudul Min Yasmin – Pangarap.

“Selepas album pertama, saya rasa perlu untuk kekalkan momentum di Filipina. Masih ‘panas’ di Filipina, jadi biarlah saya beri fokus untuk kembangkan kerjaya di sana dahulu.

“Namun dalam masa sama, saya juga sedang siapkan album Bahasa Melayu untuk peminat di Malaysia. Album tersebut sudah 80% siap dan tunggu masa untuk dilancarkan,” cerita Min Yasmin.

Bercakap tentang album baharu yang bakal dilancarkan pada 22 Februari ini di Manila, Filipina, kata Min cabaran utama yang dihadapi ialah merakamkan lagu dalam Bahasa Filipina.

“Album tersebut mengandungi 14 buah lagu. Satu lagu Bahasa Melayu, satu lagu Inggeris dan selebihnya bahasa Tagalog, Tausug dan Sama. Pastinya cabaran adalah menyanyikan lagu dalam bahasa mereka.

“Cara menyebut setiap bahasa juga berbeza. Ada lagu yang terpaksa saya rakam dua kali kerana mahu menjaga kualiti.

“Pengalaman kerja di sini sangat berbeza. Ada yang menggelarkan saya sebagai diva Malaysia dan itu adalah cara mereka menghargai saya,” cerita Min Yasmin.

Related posts

Leave a Comment