You are here
NAFIZ MUAZ diejek kerana jual roti Hiburan Tempatan 

NAFIZ MUAZ diejek kerana jual roti

DRAMA Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016) telah berjaya mencungkil bakat pemuda bernama Muhammad Nafiz Muaz Mat Nasir. Menggunakan nama pentas Nafiz Muaz, pelakon usia 19 tahun ini telah terlibat dalam lapan drama dan telefilem sepenjang setahun penglibatan dalam dunia seni.

Antara drama dan telefilem lakonan Nafiz adalah Sweetie Nanie, Bibah Bebel, Amsyar dan Ketika Daun Berzikir.

Bukan sekadar meneruskan minat sebagai pelakon, malah anak kelahiran negeri Kedah ini punya niat besar membantu keluarga.

“Syukur dengan apa yang saya miliki sekarang. Ini semua adalah rezeki dan usaha saya selama ini. Penglibatan dalam DFKL tahun lalu di dorong oleh ibu yang turut menghantar saya ke sesi uji bakat.

“Saya bangga dapat membantu keluarga dari segi kewangan. Dalam masa sama saya dapat menunjukkan satu teladan baik yang menjadi contoh buat orang lain.

“Sekarang apa yang saya fikirkan adalah untuk membantu adik-adik saya berjaya. Soal enjoy usia muda saya tolak ke tepi dahulu,” ujar anak sulung dari lima beradik ini.

Hasil pendapat dari dunia lakonan, Nafiz berjaya menyewa sebuah rumah yang lebih besar dan selesa untuk keluarganya. Dari sebuah rumah kampung yang kecil, kini keluarga Nafiz tinggal di sebuah kawasan perumahan di Sungai Petani, Kedah.

“Saya mahu adik-adik saya selesa belajar di rumah baharu tersebut. Saya membantu apa yang sepatutnya agar mereka semua berjaya kelak,” kata Nafiz.

Bukan hanya berlakon, malah Nafiz kini turut membantu menguruskan perniagaan menjual roti yang telah diusahakan oleh arwah datuknya sejak sekian lama.

“Jika tidak terlibat dengan penggambaran saya akan pulang ke Kedah dan membantu sebagai agen meniaga roti. Sekarang perniagaan tersebut diuruskan oleh pak cik saya.

“Memang ada yang mengejek dan anggap saya tidaka ada tawaran berlakon sehingga terpaksa balik kampung menjual roti.

“Biarlah apa yang orang lain mahu katakan. Itu adalah minat saya dari dahulu lagi. Memang saya minat berniaga dan sejak di bangku sekolah saya sudah menolong ibu berniaga di warung,” cerita Nafiz.

Nafiz ditemui ketika Siri Jelajah DFKL 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur hujung minggu lalu. Ketika acara tersebut lebih 300 peserta hadir ke sesi pencarian bakat baharu di mana Sheila Rusly dan Fauziah Datuk Ahmad Daud terlibat sebagai juri.

Malam kemuncak Anugerah DFKL2017 akan berlangsung pada 9 April 2017. Peminat kini boleh membuat undia secara online bagi memilih pelakon kesukaan mereka yang tercalon dalam setiap kategori dipertandingkan.

Related posts

Leave a Comment