You are here
Penantian berbaloi ERNIE ZAKRI Hiburan Tempatan 

Penantian berbaloi ERNIE ZAKRI

SELAMA lebih tujuh tahun dalam industri seni, nama penyanyi Ernie Zakri sebelum ini mungkin kurang mendapat perhatian. Namun kemunculan kembali di program Duo Star membuatkan ramai mula sedar bakat besar Ernie.

Akui pernah rasa berputus asa, Ernie menganggap penantiannya selama ini untuk meraih perhatian peminat berbaloi. Apalagi lagu duet dia bersama Syamel berjudul Aku Cinta layak bertanding ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 32 (SFMM32).

“Ini pertama kali saya menyanyikan lagu sendiri di pentas SFMM32. Semestinya saya rasa amat bersyukur. Penantian saya selama tujuh tahun dalam industri sangat berbaloi.

“Sebelum ini saya pernah putus asa dan sering bertanya apa lagi yang harus dilakukan sebagai penyanyi supaya peminat menerima kehadiran saya.

“Dalam masa sama saya amat beruntung kerana memiliki seorang sahabay seperti Syamel. Dia punya nama yang kukuh dalam industri, justeru membantu untuk rebranding semula nama saya sebagai penyanyi,” ujar Ernie yang sebelum ini popular dengan lagu Jangan Marah.

Bercakap soal kemunculan semula, kali ini Ernie akan lebih peka terhadap permintaan peminat semasa. Dalam masa sama, Ernie turut mahu mengintai peluang seni lain seperti berlakon dan menjadi pengacara selepas kerjaya nyanyian betul-betul kukuh.

“Selepas ini saya akan fokus kepada apa yang peminat mahukan. Berada dalam industri ini, saya tidak boleh bersifat ego dengan hanya mengikut cita rasa sendiri.

“Apa yang saya mahukan tidak semestinya peminat akan suka dengar. Saya perlu peka kepada persekitaran dan dalam masa sama punya gaya tersendiri,” ujar Ernie.

Related posts

Leave a Comment