You are here
REVIEW PENONTON: Tombiruo wajar diberi kredit Filem & Drama Hiburan 

REVIEW PENONTON: Tombiruo wajar diberi kredit

FILEM Tombiruo: Penunggu Rimba yang mula ditayangkan pada 12 Oktober lalu telah berjaya mencapai kutipan lebih RM 2 juta. Kehebatan filem adaptasi novel tulisan Ramlee Awang Murshid ini menjadi bualan ramai di media sosial.

Antara yang menjadi tumpuan adalah sinematografi yang menarik serta aksi barisan pelakon. Filem arahan Seth Larney ini menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussien, Farah Ahmad, Artu, Hasnul, Michael Chen, Fye Khusyairi, Dynaz dan Datuk M. Nasir.

Berikut adalah pandangan seorang penonton bernama Izzat Kamal yang telah menyaksikan filem ini di pawagam.

Mengenali Ramlee Awang Murshid (RAM) sebagai penulis novel genre thriller terbaik Malaysia menjadi sebab saya ke panggung menonton filem ini. Penilaian untuk filem ini adalah daripada sudut pandang penonton yang masih belum membaca Tombiruo versi novel. Secara keseluruhannya boleh dikatakan filem ini punya usaha yang tinggi dalam menterjemah karya novel ke layar perak.

Ada beberapa alasan kenapa Tombiruo: Penunggu Rimba perlu mendapat perhatian peminat filem tempatan. Filem ini memaparkan keindahan negeri Sabah walaupun tidak semua babak dirakamkan di Negeri di Bawah Bayu itu.

Sebagai contoh paparan babak rumah Ejim yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu sangat memukau pandangan. Kesan CGI yang digunakan dilihat tidak terlalu mencuba sehingga nampak seperti ‘kartun’.  

Idea babak pertarungan seperti filem The Matrix dan Kingsman memberi satu kelainan berbanding filem tempatan sebelum ini. Pengarah filem ini merupakan salah seorang tenaga produksi filem Matrix Revolutions dan The Matrix Reloaded. Jadi tidak hairan kenapa aksi sebegitu hebat dapat diterjemahkan dalam karya ini.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kekurangan yang mungkin menyebabkan filem ini bukan untuk ditonton kali kedua. Antaranya ialah plot filem yang melompat. Penceritaan pada awalnya terlalu mudah sehingga ada yang merasa keliru bagaimana Ejim mendapat kuasa.

Mungkin ini adalah limitasi dalam sebuah filem dan perlu membaca novel untuk mendapatkan gambaran jelas keseluruhan filem tersebut.

Seterusnya, skrip filem ini juga boleh dikatakan berada dalam tahap sederhana. Tetapi suara latar Monsiroi yang menjadi narrator di permulaan filem sangat menakutkan dan rasanya seperti menonton filem seram.

Namun filem ini bukanlah sebuah filem yang gagal. Dilihat secara keseluruhanya, Tombiruo: Penunggu Rimba wajar diberi kredit atas usaha seluruh tenaga produksi.

Komen di atas sekadar pandangan peribadi daripada seorang peminat filem. Jangan lupa saksikan filem Tombiruo: Penunggu Rimba di pawagam berdekatan anda.

Related posts

Leave a Comment