You are here
SHAHIR tidak mahu popular kerana kisah cinta Hiburan Tempatan 

SHAHIR tidak mahu popular kerana kisah cinta

PENYANYI Shahir Zawawi, 28 akui dia sudah menjangkakan soalan tentang hubungan dia bersama pelakon Erra Fazira akan menjadi tumpuan apabila dia kembali muncul dalam acara yang dihadiri media.

Bagaimanapun juara program Akademi Fantasia muzik ke-8 ini tidak mahu isu tersebut dianggap sebagai jalan mudah untuk meriah populariti.

“Cerita tersebut telah bertahun diperkatakan. Ada juga media yang memanggil saya untuk sesi fotografi, namun saya belum bersedia sebelum ini.

“Saya tahu isu ini akan menjadi soalan utama ditanya dan saya sudah bersedia. Saya tidak mahu hanya satu pihak sahaja yang berhadapan dengan situasi begini.

“Saya juga tidak mahu orang ramai anggap saya muncul semula hanya untuk menyambut kontroversi sebegini,” ujar Shahir.

Bercerita tentang perjalan seni selepas ini, kata Shahir dia tidak mahu terburu-buru untuk tampil dengan lagu baharu. Selain menyanyi, Shahir turut menerima undangan berlakon.

“Biarlah hanya satu atau dua lagu dalam tempoh setahun. Bukan sekadar ‘tangkap muat’. Apa yang penting lagu saya meninggalkan kesan buat peminat.

“Ada sebuah lagu yang saya cipta sendiri sejak tiga tahun lalu. Kalau boleh saya mahu tampil dengan cita rasa muzik sendiri,” jelas Shahir.

Dengan niat untuk terus aktif di persada seni, Shahir juga berjanji akan sentiasa berkongsi perkembangan terbaharu kerjaya seninya di laman sosial.

“Saya memiliki akaun laman sosial sendiri cuma kurang aktif dan saya juga lebih sukakan privasi. Namun jika itu salah satu cara untuk mengikut peredaran zaman, saya akan mengikut rentak tersebut.

“Selama ini saya tidak pernah berhenti menyanyi dan masih menerima undangan. Beberapa bulan lalu ada peminat yang mengajak saya untuk mengadakan satu perjumpaan beramai-ramai.

“Apabila melihat respon dan doa mereka, maka saya terbuka hati untuk muncul secara terbuka. Tambah lagi saya juga tidak sibuk dengan perniagaan,” jelas Shahir.

Related posts

Leave a Comment