You are here
Shidi belum puas beraksi di pentas GV3 Hiburan Tempatan 

Shidi belum puas beraksi di pentas GV3

TERSINGKIR pada minggu kelima program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) dianggap masih terlalu awal buat Shidi yang juga merupakan vokalis kumpulan Data.

Bukan bermaksud cuba menafikan keputusan juri, namun bagi pemilik nama Rashidi Rashid, 44 tahun ini, dia belum puas menunjukkan kemampuan sebenar di atas pentas untuk tatapan peminat baru dan lama.

Redha dengan keputusan tersebut, Shidi bagaimanapun menganggap GV3 adalah platform terbaik untuk menaikkan lagi namanya dan juga memperkukuhkan perjalanan seni kumpulan Data,

“Saya belum puas dan ingin membuat persembahan yang terbaik pada minggu-minggu akan datang. Malangnya, tiada rezeki saya lagi untuk beraksi di pentas itu lagi.

“Walaupun ada peminat yang membantah dengan keputusan mengeluarkan saya dari program itu, tetapi saya menganggap itu adalah keputusan terbaik yang Tuhan aturkan untuk diri saya,” katanya.

rhda6298
Shidi belum puas tunjuk taring di pentas GV3. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI.

Apabila ditanya bagaimana penerimaan peminat dan golongan muda menerusi laman media sosial selepas terkenal di program GV3, Shidi akui kini semakin ramai golongan muda yang mula mengenali dirinya.

“Sebelum ini tidak ramai yang mengenali kumpulan Data dan ahli-ahlinya. Apabila saya menyertai rancangan ini ia merupakan bantuan untuk membuat promosi album-album kami. Saya menerima peminat dengan hati yang terbuka kerana mereka adalah sokongan buat saya dan rakan-rakan.

“Saya juga bersyukur kerana tersingkir dalam keadaan baik. Tiada persepsi buruk dan cerita-cerita negatif yang menyebabkan saya disingkirkan,” katanya.

“Saya juga boleh mempromosikan diri menerusi media sosial dan menulis status serta perkembangan terbaharu buat peminat,” tambahnya.

Shidi merupakan vokalis kumpulan Data yang mula ditubuhkan pada tahun 1991. Kumpulan ini turut dianggotai oleh Mohd. Noor Abdul Kadir (dram), Mohd. Hanif Hamdan (gitar utama) dan Shahril Khuzairi (bass). Kali terakhir Data tampil dengan lagu baru adalah pada awal tahun lalu berjudul Sayangku.

Related posts

Leave a Comment