You are here
Tingkatkan rohani sebelum kahwin, Ainan Tasneem berhenti jadi penyanyi Hiburan Tempatan 

Tingkatkan rohani sebelum kahwin, Ainan Tasneem berhenti jadi penyanyi

BAKAL berkahwin pada awal Januari 2017 nanti, penyanyi Ainan Tasneem memberitahu dia kini sedang mempersiapkan dirinya bergelar isteri. Selain belajar memasakan, Ainan turut berusaha menambah ilmu agama dengan menghadiri usrah.

Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Redzuan,24 akan bernikah dengan pemuda bernama Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi,25 pada 6 Januari nanti. Manakala majlis resepsi pihak perempuan berlangsung pada 7 Januari.

“Sebelum ini memang saya tidak pandai memasak. Sekarang saya banyak belajar resepi yang dikonsikan di laman sosial supaya selepas berkahwin nanti saya dapat sediakan masakan yang enak untuk suami.

“Selain itu saya juga mengikuti usrah bagi meningkatkan kerohanian diri. Dalam masa yang sama dapat juga menambah ilmu tentang rumah tangga.

“Selepas membuat keputusan untuk berkahwin saya mula rasakan perubahan dalam diri menjadi seorang yang lebih matang,” cerita Ainan yang ditemui ketika hadir ke pejabat urusan Utusan Karya bagi mengedarkan kad jemputan.

Bercerita tentang persiapan majlis, Ainan memilih tema perkahwinan Inggeris ketika majlis resepsi. Selepas selesai majlis, Ainan dan pasangan akan ke Bali, Indonesia untuk berbulan madu.

Ainan mula berkenalan dengan Arif sejak empat bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang teman. Dalam tempoh perkenalan yang singkat, peribadi Arif telah membuka hati Ainan untuk menjadi suri dihati lelaki itu.

“Ketika mengerjakan ibadah umrah pada hujung Ramadan lalu memang saya ada berdoa agar dipertemukan jodoh. Selepas dua minggu pulang seorang kawan memperkenalkan Arif kepada saya.

“Arif memiliki ciri-ciri lelaki yang saya suka dan keperibadian yang dimiliknya sukar dicari pada lelaki lain. Dia membawa saya ke arah yang lebih baik. Syukur urusan kami dipermudahkan. Keluarga saya juga senang dengan sikap Arif.

“Dia tahu saya seorang artis dan terbuka menerima saya seadanya. Dia juga sudi untuk ‘masuk’ ke dalam dunia saya,” ujar Ainan.

Selepas bergelar isteri nanti, Ainan membuat keputusan untuk berhenti menjadi penyanyi. Namun itu tidak bermakna dia akan terus hilang dari radar seni.

“Sejak dahulu lagi saya sudah katakan akan berhenti menyanyi selepas berkahwin. Ini adalah pilihan terbaik. Saya juga merasakan sudah puas menyanyi.

“Selain fokus pada rumah tangga saya tidak akan terus meninggalkan dunia seni. Mungkin saya akan aktif sebagai pengacara atau menjadi pelakon mengikut kesesuaian watak. Saya juga akan terus mencipta lagu untuk penyanyi lain,” jelas Ainan.

Bakal suami sokong Ainan berhenti menyanyi. FOTO: SYAFIQ AFFENDY.
Bakal suami sokong Ainan berhenti menyanyi. FOTO: SYAFIQ AFFENDY.

Related posts

Leave a Comment