You are here
WANI KAYRIE lawan trend semasa Hiburan Tempatan 

WANI KAYRIE lawan trend semasa

PENYANYI muda Wani Kayrie,17, tampil dengan single baharu berjudul Aku Suka Kamu. Lagu rentak pop ciptaan Audi Mok dan Shazzy ini turut mendapat sentuhan Wani sendiri.

Menurut pemilik nama penuh Syazwani Abdullah ini, dia tidak mahu terlalu mengikut trend semasa penyanyi muda yang lebih gemar dengan lagu genre balada. Malah bagi Wani genre pop lebih sesuai dengan usia mudanya.

“Dalam single saya yang keempat ini, komposer sendiri bertanya genre apa yang saya mahukan. Jadi saya pilih untuk masukkan elemen pop kerana lebih sesuai dengan usia remaja saya.

“Saya lihat sekarang sudah banyak lagu balada yang dinyanyikan oleh penyanyi muda. Apa salahnya jika saya berikan kelaian serta melawan trend semasa. Dalam masa sama peminat tahu saya boleh nyanyi balada dan pop,” ujar Wani yang sebelum ini popular dengan lagu Jangan Jangan.

Bercakap soal kehadiran ramai penyanyi muda masa kini, Wani akui dia perlu tingkatkan persaingan agar dirinya tidak ketinggalan. Justeru bagi Wani tiada istilah rehat sekali dia bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.

“Perjalan seni saya tahu 2016 kurang memberangsangkan. Tahun ini saya dapat melihat perubahan besar. Sebab itu saya rasakan tidak perlu nak rehat panjang walau saya bakal menduduki SPM.

“Tambah pula sekarang ini semakin ramai penyanyi baharu. Kalau saya berhanti, takut nanti saya akan ketinggalan dalam dunia seni.

“Biarlah saya lakukan dua kerja dalam satu masa. Apa yang penting ialah bijak mengimbangi kedua-duanya.

“Saya tetap aktif mempromosikan lagu baharu ini dan biasanya dilakukan selepas waktu sekolah. Jika terlibat dengan persembahan saya akan bawa buku untuk ulangkaji pelajaran jika ada waktu terluang,” cerita Wani.

 

Related posts

Leave a Comment