Buletin

A TO Z, MOIN, dan EZAD LAZIM Ubati Rindu Peminat

Zaman yang mengajar erti berdikari, zaman mengajar erti persahabatan, erti semangat dan kerjasama dalam kumpulan. Ia juga secara keseluruhannya adalah zaman untuk mengenal kekuatan diri yang sebenar. Ya, itulah zaman kampus atau universiti. Antara zaman yang paling dikenang seumur hidup.

Pelbagai kisah suka dan duka terpahat dalam ingatan. Tidak terkecuali pilihan lagu yang menggamit nostalgia ‘masa emas’ tersebut dalam hidup kita. Walaupun zaman kegemilangan bagi kumpulan-kumpulan tersebut sudah pun berakhir, lagu-lagu dendangan mereka ternyata masih diminati ramai dan popular hingga hari ini.

Pasti ramai merindui kemunculan kumpulan A To Z

Justeru bagi merealisasikan angan penonton yang mahu menyaksikan gabungan lagu-lagu tersebut dinyanyikan dalam satu program khas, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program Dimensi Legenda bertemakan “Zaman Kampus” pada 14 Oktober ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Berhibur dengan celoteh pengacara Raja Azura, dan Azrul dan bersama artis undangan Ebby Yus dalam program terbitan Unit Hiburan TV RTM yang dirakamkan pada 12 Julai lalu bertempat di Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Bagi yang merindui pasangan adik-beradik yang menamakan diri mereka sebagai Kumpulan Moin, gandingan Ieda dan Eddie bakal tampil dengan tiga lagu popular mereka termasuklah “Abadinya Cinta”, “Kini dan Selamanya”, dan “Kau Yang Kurindu”.

Kumpulan A To Z popular pada pertengahan 90-an menerusi lagu-lagu daerah juga tampil menyampaikan lagu malar segar mereka seperti “Darjat”, “Berdendang” dan “Itik Gembo-Gembo”. Pada masa sama peminat kumpulan ini dapat mengikuti perkembangan terbaharu mereka yang dianggotai oleh Lan, Jeff dan Chap.

Ezad Lazim sampaikan lagu popular Exist

Segmen khas Memori Untukmu mengembalikan memori kegemilangan dua kumpulan, Spoon dan Spin yang masing-masing dinyanyikan oleh Aisha Safia dengan lagu “Rindu-Serindu Rindunya”. Saksikan juga kemunculan adik Allahyarham Achik Spin iaitu Khalis menyanyikan lagu popular “Hadirlah Mustika”.

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi Ezad Lazim? Dia yang kini membuat kemunculan semula dengan beberapa single terbaharu mempersembahkan tiga lagu termasuklah “Alasanmu”, “Jesnita” dan “Kapal Terbang Kertas”. Ketiga-tiga lagu ini pastinya mampu menyorot zaman kemasyuran kumpulan Exist iaitu antara kumpulan yang benar-benar berkemampuan bermain muzik dan dianggap antara artis negara kita yang tidak bersandar pada populariti dan wajah semata-mata.

Ingin menyaksikan bagaimanakah kesemua artis terlibat berkongsi pentas? Dan lagu apa yang dipilih mereka menghiburkan penonton? Ikuti persembahan mantap mereka ini di TV1.

Inilah kesemua artis yang terlibat

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Teruskan layari instaonline.com.my #instaonline

Facebook: Insta Online
Instagram: @instaonline.com.my_