Hiburan

Aeril Zafrel hero teater Tanah Akhirku

Pelakon Aeril Zafrel menyertai teater sempena merai Hari Kemerdekaan, Tanah Akhirku menggalas watak lelaki utama.
Penglibatan pelakon itu diumumkan pada sidang media dan sneak preview teater tersebut di Istana Budaya hari ini. Ia akan dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Ogos hingga 2 September ini. Aeril akan membawakan watak Tengku Khalis dalam teater arahan dengan aktivis baharu teater, Naque Ariffin dan pembantunya Aloeng Silalahi.
“Ini kali kedua saya berpeluang berlakon di Istana Budaya… saya teruja dan gementar. Apatah lagi ia dibawakan oleh anak-anak muda yang berjiwa besar.
“Teater ini juga saya anggap kaya semangat rasa bersama masyarakat dan pesan peringatan tentang adanya pemakai topeng yang mampu membinasakan segenap jiwa,” kata Aeril.
Ariel yang baru memberi persetujuan untuk terlibat minggu lalu mengakui teruja dengan kemunculan keduanya di pentas Istana Budaya.
“Produksi telah bertanya kepada saya sejak sebulan lalu, tapi pada masa itu saya tidak dapat beri persetujuan kerana sibuk dengan penggambaran drama.
“Apabila Ketua Pengarah Istana Budaya menghubungi saya semula, saya menerimanya. Lagipun pihak produksi menerima jadual latihan yang saya berikan, bolehlah saya beri komitmen,” kata Aeril.