Hiburan

Andy Hakim tamat kontrak dengan KoolFM

Penyampai radio yang sinonim dengan lagu Hindi, Andy Hakim Ibrahim tamat kontrak dengan stesen radio Kool FM sejak 1 Ogos lalu.

Andy memuatnaik status pemberitahuan malam ini ketika slot Mega Hindi kelolaannya yang sepatutnya bersiaran pukul 10.00 malam.

Terima dengan hati terbuka.

“Kepada semua rakan media sosial saya, di insta atau FB. Saya nak maklumkan kepada anda semua, bermula 1 Ogos yang lepas, saya tidak lagi menjadi kakitangan KoolFM.

“Setahun genap saya bersama KoolFM. Saya nak mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak Kool, yang memberikan saya peluang untuk membuat ‘come back’ dalam dunia penyiaran radio, walaupun tahu usia saya tidak lagi muda.

” Sebab itu saya dengan rela hati membantu Kool menambahkan koleksi lagu-lagu mereka, Melayu, Inggeris dan terutama Hindi. Sebab saya ada banyak koleksi cakera padat persendirian. Saya ikhlas menyumbangkannya pada pihak Kool.

“Ramai yang tidak tahu usia saya yang sebenarnya. Saya sudah berusia 58 tahun kini. Saya tidak mengharapkan untuk bertugas di mana-mana stesen radio selepas ini. Namun seandainya ada peluang, dan sudi menerima saya dengan usia saya ini, maka saya akan pertimbangkan. Kalau tidak, mungkin setakat ini sahajalah perjuangan saya dalam bidang penyiaran radio,” tulis Andy.

Selepas ini katanya, dia akan menjadi pemandu Grabcar.  Bekerja sendiri dan mempunyai banyak masa untuk mendekatka  diri dengan Allah.

“Seandainya tulisan saya ini, masih belum menjawab soalan di hati anda, silalah anda tanya pada pihak KoolFM.

“Maafkan segala keterlanjuran bicara saya, semasa saya bertugas. Terima kasih atas sokongan yang anda berikan pada saya, selama ini. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya pada anda semua. Amin. Itu sahaja. Terima kasih kerana sudi membaca coretan ini. Assalamualaikum,” tulisnya yang turut disertakan hashtag #coretankhasuntukanda #tiapkejadianadahikmahdisebaliknya #perancanganallahyangterbaik #sayaredhadanikhlas