Hiburan

Deja Moss lantik kawan baik jadi jaksa pendamai

Penyanyi Deja Moss melantik rakan baiknya sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP). Suaminya Azfendy Azzudin Ahmad pula melantik abangnya berhubung penyelesaian kemelut rumah tangga mereka.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menerima perlantikan tersebut dan menetapkan 24 September depan untuk mendengar laporan yang dikemukakan oleh JKP tersebut.

Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, melantik rakan baiknya Dr. Azuraida Shahadan.

Sebelum itu, peguam syarie Ahmad Daud yang mewakili Azfendy mengemukakan bantahan perlantikan Dr Azuraida sebagai JKP atas alasan beliau bukan ahli keluarga.

Sementara itu, peguam syarie Halimatunsa’diah Abu Ahmad berhujah bahawa wakil anak guamnya tahu apa yang melanda rumah tangga mereka.

“Deja Moss mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku. Plaintif sendiri yang keluar dari rumah. Walaupun JKP yang dilantik hanya kawan, beliau tahu apa yang berlaku,” katanya.

Azfendy membuat permohonan cerai secara baik pada 5 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Deja sebelum itu memberitahu media bahawa suaminya sudah keluar rumah pada 27 September 2017 dan sejak dari itu mereka tidak lagi berhubung. Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.

Deja (kanan) bersama peguam dan wakil JKPnya.