Gaya Hidup

Didera Kekasih Kuat Cemburu, ERIN CHING Serik Percaya Lelaki

Cinta itu indah seperti pelangi. Namun adakalanya ia boleh bertukar menjadi ‘ribut taufan’.

Begitulah yang terjadi kepada mak nyah (transgender) cantik yang dikenali sebagai Erin Ching.

Erin Ching yang bekerja sebagai show girl di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur akui, ‘jiwa wanita’ yang tebal dalam diri membuatkannya mahu dicintai insan bernama lelaki.

Erin Ching bekerja sebagai show girl di sebuah kelab malam

Hampir empat tahun dilamun cinta dengan lelaki pilihan, akhirnya Erin Ching mengambil keputusan untuk berpisah kerana tidak tahan sikap kuat cemburu kekasihnya.

Cerita Erin, “mula-mula bercinta dulu memang seronok. Iyalah.. Dapat juga rasa bagaimana dicintai oleh orang yang kita sayang kan.

“Setiap hari dia ambil berat dan sentiasa ada untuk saya. Susah senang dilalui bersama. Pendek kata, hidup ini lengkap apabila dia ada  bersama.

“Namun, semuanya berubah apabila dia mula menunjukkan ‘belangnya’ atau sikap sebenar. Saya sedar semua orang ada sifat buruk tapi sikap cemburu butanya buat saya tak tahan lagi.

Erin Ching pernah tinggalkan kerjaya show girl kerana mengikut kemahuan kekasih

“Nak tahu, dia mula mengongkong seperti tidak benarkan saya keluar bekerja (show girl), jumpa kawan-kawan dan melakukan aktiviti seharian seperti biasa.

“Apabila saya keluar bekerja, dia akan pukul saya sehingga lebam-lebam seluruh badan. Bukan itu sahaja, dia juga gunting baju-baju show saya.

“Disebabkan terlalu sayang, saya turutkan sahaja kemahuannya untuk tidak bekerja dan duduk di rumah. Dalam masa yang sama, situasi ini seolah-olah mendera emosi saya dan menyebabkan saya murung.

“Syukur, sebelum ‘terseksa’ lebih teruk, saya ada kawan-kawan yang memberi nasihat agar meninggalkan lelaki itu. Mulanya memang susah, tapi bila difikirkan balik, buat apa bercinta dengan lelaki yang tidak pandai hargai kebaikan kita kan?

“Akhirnya saya move on dan tinggalkan dia. Saya kembali bekerja untuk meneruskan hidup.”

Serik Bercinta

Disebabkan pengalaman lalu, Erin Ching serik untuk bercinta dan belajar banyak perkara.

Sambung Erin, “tak dinafikan, sebagai mak nyah memang saya mahu dilayan seperti wanita. Tetapi setelah apa yang berlaku, saya derik dan fobia.

“Kepada kawan-kawan mak nyah, wanita atau lelaki, nasihat saya, berhati-hatilah dalam menilai cinta. Jangan jadi ‘buta’.

“Jangan kerana cinta kita jadi rosak dan membiarkan Emosi kita ‘didera’. Hiduplah seadanya dan hargailah keluarga dan kawan-kawan. Cintailah mereka.”

Haa…betul cakap Erin Ching tu. Jangan terlalu kejar cinta Kekasih sehingga lupa orang yang selalu ada untuk kita. Semoga kisah Erin Ching ini menjadi pengajaran buat Semua ya!

Teruskan layari instaonline.com.my #instaonline

Facebook: Insta Online
Instagram: @instaonline.com.my_
Instagram Erin Ching: @misserina_90