Buletin

Imran Ajmain berdebar untuk konsert 10 tahun

Debaran penyanyi Singapura, Imran Ajmain semakin membara saat menghitung hari langsungnya konsert mini balada Melayu; Sepuluh Tahun Pertama yang akan diadakan di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada 13 Julai ini.
Konsert mini ini sempena ulang tahun sedekad penglibatan Imran dalam bidang seni selain sempena minggu Pesta Raya – Festival Seni Melayu yang berlangsung di Esplanade pada 12 hingga 15 Julai ini.

Imran yang mula dikenali dengan karya sulung, Sudah Tu Sudah dan diikuti Seribu Tahun sekitar tahun 2006 bagaimanapun meluah kelegaan kerana penjualan tiket konsert mini itu mendapat sambutan membanggakan sejak dilancarkan di atas talian sebulan lalu.
Imran yang juga menggalas jawatan Pengarah Kreatif SukaSucre Group of Companies mengaku berdebar menanti hari berlangsung konsert yang dianggap cukup signifikan dalam profil kerjaya seninya.
“Sejujurnya, saya berasa teruja dan waktu sama berdebar untuk muncul di dalam sebuah konsert sulung apatah lagi ia diadakan di Esplanade yang merupakan salah satu impian saya selepas bergelar artis.
“Begitupun, perasaan berdebar ini berjaya membangkitkan semangat luar biasa buat saya selepas mengetahui tiket sudah terjual hampir 90 peratus sebaik sahaja mula dilancarkan. Lantaran itu, saya harus berjuang sehabis daya pada persembahan itu nanti,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bercakap tentang persediaan konsert mini itu, Imran menjelaskan, dia akan diiringi sekitar 15 pemuzik profesional dari Singapura sepanjang persembahan berdurasi hampir dua jam ini.
“Saya kini lebih kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk menghadiri latihan bersama pemuzik selain mendapatkan keserasian apabila bergabung sepentas nanti.
“Saya lebih mengambil berat  soal kesihatan supaya dapat mengekalkan stamina ketika membuat persembahan nanti. Saya meletakkan ekspektasi tinggi untuk memberi kepuasan kepada peminat yang hadir,” ujar Imran.
Tiket berharga 27SGD (RM80) boleh dibeli dengan menghubungi Esplanade Box Office di talian (65) 68288389 atau emel boxoffice@esplanade.com.
Sementara itu, para pelajar dan golongan senior pula boleh mendapat diskaun dengan harga 21SGD (RM63).
Menariknya, lagu-lagu terbaharu Imran juga bakal didendangkan semasa konsert mini ini termasuk Sentiasa Merinding dan Intan & Perak.
Sebuah slot khas bakal dipersembahkan oleh Imran yang merupakan anak kepada penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk para penyanyi era 80-an, Ahmad Husaini Ajmain sebagai tribut serta memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapanya.
Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama-nama besar industri seni seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood, Azean Irdawaty dan ramai lagi. Imran merangka melancarkan album kelimanya penghujung tahun ini.
Foto kredit: @theshahrulizzat untuk @ss_creatives