Gaya Hidup

Isu LGBT…”Ramai Maknyah Tolong Saya Untuk Bina Kerjaya” – AIRIS

Kecohnya isu LGBT sekarang menyebabkan sesetengah golongan ini terutamanya maknyah dan lelaki lembut dipandang serong.

Isu ini menjadi lebih besar apabila ia diperkatakan oleh pemimpin dan ahli-ahli agama di Malaysia, sekaligus menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat.

Apa pun pandangan orang, golongan ini sebenarnya sudah lama diterima dalam masyarakat. Tidak ada diskriminasi pun.

Di kesempatan ini, INSTA ONLINE sempat mendengar luahan seorang mak nyah yang dikenali sebagai Airis,19,  yang agak terkilan apabila isu ini diperbesar-besarkan.

Cerita Airis yang berasal dari Kelantan, “saya masih muda. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Apabila tiba di Kuala Lumpur, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang pada mulanya nampak baik dan kononnya mahu membantu saya. Tambah pula dia menabur kata-kata manis yang dia sayangkan saya.

“Saya bekerja di sebuah salon dan tinggal di rumahnya kerana tiada tempat perlindungan.

“Selepas beberapa bulan, saya sedar lelaki tersebut hanya mahu ‘mempergunakan’ saya. Pantang saya ada duit, pasti dimintanya. Bermacam-macam alasan yang diberikan untuk meminta duit saya.

“Oleh kerana tidak tahan dengan perangainya yang ‘kaki kikis’ dan panas baran, saya lari sehelai sepinggan kerana tidak mahu hidup terseksa lagi.

“Selepas itu, saya tidak ada tempat perlindungan dan hanya mampu menghabiskan sisa-sisa duit yang ada.

“Saya menangis sendirian kerana tidak tahu ke mana harus pergi”

Luah Airis yang menganggap dugaan ini banyak mengajarnya tentang kehidupan.

Doa Teraniaya Dimakbulkan

Benarlah… Doa orang teraniaya memang dimakbulkan tuhan.

“Alhamdulillah… Allah Maha Adil. Doa orang teraniaya selalu dimakbulkan.  Saya bertemu dengan seorang maknyah yang saya panggil Kak Zam.

“Dialah yang ‘mengutip’ saya di saat susah yang melalui kesukaran hidup di kota besar ini.

“Saya tak sangka, maknyah yang dipandang serong oleh sesetengah masyarakat rupa-rupanya berjiwa mulia. Hatinya sangat bersih.

“Kak Zam mempelawa saya bekerja di butik dan salonnya. Syukur sangat, kawan-kawan maknyah lain yang bekerja dengan Kak Zam banyak memberi tunjuk ajar dan mendorong saya supaya kuat hati dalam membina kerjaya.

Airis rasa bertuah dikelilingi kawan-kawan maknyah yang banyak membantu dalam membina kerjaya

“Kini, saya dilatih untuk melakukan kerja-kerja di salonnya, Iman Hair Studio, Kajang. Dari memotong rambut sehinggalah menjalankan rawatan tertentu seperti rebonding.

“Bukan itu sahaja, saya juga belajar banyak ilmu di butik kahwin, Jessica Bridal. Dari menjahit sehingga menyiapkan pelamin, saya tekun belajar dari kawan-kawan yang tidak lokek ilmu.

“Tak dinafikan, kadang-kadang mulut mereka memang ‘pedas’ dan sangat berterus-terang, tapi hati mereka baik mahu melihat kawan-kawan berjaya.

“Apa yang ingin saya sampaikan, janganlah mudah memandang rendah atau serong terhadap golongan maknyah. Mereka sangat ringan Tangan untuk membantu orang susah.

“Buktinya, ketika saya susah, ramai maknyah tolong saya untuk bina kerjaya.

Inilah antara pelamin yamg dihias oleh Airis semenjak diberi peluang bekerja bersama Kak Zam melalui butiknya, Jessica Bridal (Instagram: @jessica_bridal_kajang)

Airis banyak belajar tentang salon rambut daripada Shira di Iman Hair Studio, Kajang (instagram @iman_hairstudio)

“Jadi, usahlah pandang serong terhadap mereka. Biasalah, manusia tidak ada yang sempurna. Tak kisalah maknyah, perempuan, lelaki atau sesiapa pun, tetap akan ada kelemahan.

“Janganlah hanya kerana isu ini diperkatakan, maka yang buruk-buruk sahaja nampak pada kami.”

Semoga apa yang diluahkan oleh Airis menjadi pengiktibaran kepada kita semua. Bak kata pepatah Inggeris, don’t judge a book by its cover.

Jangan pandang luaran sahaja, hati yang baik itu lebih membahagiakan.

Teruskan layari instaonline.com.my