Buletin

Mahadzir Lokman meninggal dunia

Personaliti terkenal tanah air, Datuk Mahadzir Lokman, 61, meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah awal pagi tadi.

Adiknya, Ida Lokman mengesahkan berita tersebut kepada media hari ini. Ketika ini anggota keluarga ke Kota Kinabalu untuk menguruskan jenazah. Allahyarham tiba di Kota Kinabalu pada 31 Julai lalu.

Bersama kenalan di Restoran makanan laut di Kota Kinabalu.

Tahun lalu, Allahyarham dilaporkan koma dan berada dalam keadaan kritikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya Petaling Jaya kerana paru-paru dijangkiti kuman. Allahyarham menghidap penyakit darah tinggi dan diabetis sejak dulu.

Mahadzir memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu. Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi terbitan TV3.

Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan dirinya sering diundang menjadi pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Allahyarham juga sering diundang mengendalikan Tilawah Al Quran peringkat Antarabangsa kerana kefasihannya berbahasa asing.

Mahadzir dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.

Pada 31 Julai lalu, Allahyarham memuatnaik beberapa foto di laman Facebook semasa menikmati juadah makanan laut di sebuah restoran di Kota Kinabalu pada hari pertama dia tiba.

“Tue 31 Jul 2018-We had a fresh & yummilicious Seafood dinner with Dato Abdul Rahman Sharif & spouse Datin Dr Maimunah Othman and their 2 daughters, upon arrival in the City of Kota Kinabalu, Sabah,” tulisnya.