Hiburan

Nazar botak Edika tamat selepas 12 tahun

Sejak isterinya lumpuh separuh badan 12 tahun lalu, pelakon Edika Yusuf pernah bernazar tak mahu menyimpan rambut.

Selepas dua belas tahun, tahun ini Edika menamatkan nazarnya dan kembali menyimpan rambut.

“Dulu saya bernazar akan kembali menyimpan rambut apabila isteri saya, Norhidayah sembuh. Saya bernazar untuk kekal botak selama 12 tahun. Sebab itulah selama ini saya akan mencukur rambut saya setiap minggu.

“Tapi selepas 12 tahun, doktor memberitahu isteri saya sudah tiada harapan untuk sembuh, jadi saya terpaksa tamatkan nazar saya itu sebab dia tiada harapan untuk kembali berjalan,” kata Edika.

Selepas menamatkan nazar, Edika yang popular pada tabun 90-an itu juga kembali berlakon.

“Sebab nak kembali berlakon, saya terpaksa simpan rambut,” kata Edika.

Sejak awal tahun ini sudah lima buah drama bersiri dan telefilem lakonannya. Edika juga salah seorang pelakon filem seram Millionair. 

“Saya seronok dapat peluang berlakon kembali dan bertemu kawan lama di lokasi.

“Setakat ini saya bawakan watak biasa sahaja, sebagai bapa. Saya harap dapat tawaran watak mencabar, misalnya watak jahat,” kata Edika, 50.

Dia juga berhadap akan terus diberi peluang berlakon oleh pengarah generasi muda.