Hiburan

Noryn Aziz juara GV5

Sejak awal bermula Gegar Vaganza 5, penyanyi Noryn Aziz dilihat sebagai calon konsisten yang boleh memenangi pertandingan realiti nyanyian yang menampilkan penyanyi yang sudah menyepi tanpa lagu baru itu.

Ternyata, malam tadi Noryn menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara GV5 yang berlangsung secara langsung dari Dewan Auditorium Majlin Bandaraya Shah Alam.

Noryn dan Dia menanti keputusan akhir.

Noryn tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu Laskar Cinta duet bersama Awi Rafael serta battle bersama Dia fadila dengan lagu Where Is The Love menewaskan lima finalis lain yang turut bertanding iaitu Dia Fadila, Zamani, Amelina, Mya Ruslee dan duo Billy Zulkarnain.

Noryn membawa pulang wang tunai RM100,000 sumbangan Astro, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort serta trofi. Sementara itu, Dia Fadila (kedua) dengan wang tunai  RM50,000, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan trofi.

Barisan juri

Zamani yang mencetuskan kontoversi dan dikatakan menjadi pilihan pihak Astro untuk dijadikan juara, hanya menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM30,000 sumbangan Astro, penginapan hotel dan trofi. Vokalis kumpulan Slam ini juga turut memenangi Bintang Cuckoo Paling Gempak buat kali ketiga.

Tempat keempat pula dimenangi Amelina dan mendapat hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000, penginapan dan trofi manakala Mya Ruslee hanya mampu berpuas hati di tempat kelima walaupun mendapat pujian ramai. Dia membawa pulang wang tunai RM15,000, penginapan dan trofi.

Manakala duo pertama yang layak ke final, Billy Zulkarnain di tempat keenam dan membawa wang tunai RM10,000, penginapan serta trofi.

Finalis GV5

Pertandingan GV5 di peringkat akhir ini diadili empat juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap, manakala Datuk D.J Dave dan Joe Flizzow pula sebagai juri tempatan.

Malam kemuncak GV5 yang juga disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) ini menampilkan pengacara tetap Nabil Ahmad dan Jihan Muse membawakan acara.

Peserta lain yang menyertai GV5 ialah Hetty Sarlene, Farawahida, Forteen, Safura, Elite dan Shafie Rio.