Sukan

Pasukan Ong Kim Swee diramal sukar

Jurulatih pasukan bolasepak negara, Datuk Ong Kim Swee  yang bakal membawa anak buah ke  Sukan Asia  Jakarta-Palembang bulan depan dilihat semakin sukar ke pusingan kalah mati apabila kemasukan satu lagi pasukan dalam kumpulan mereka.

Malaysia diundi ke dalam Kumpulan E untuk pe­ringkat awal acara bola sepak lelaki temasya di Jakarta-Palembang itu dengan pada awalnya akan menentang Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain. Namun Emiriah Arab Bersatu (UEA) kini diundi masuk kumpulan sama.

Ong Kim Swee

Turut menghadapi nasib serupa adalah tuan rumah Indonesia apabila Palestin dimasukkan ke dalam Kum­pulan A untuk bersaing dengan mereka selain Hong Kong, Laos dan Taiwan.

Keputusan itu diperoleh hasil undian tambahan melibatkan dua pasukan ber­kenaan di Ibu Pejabat AFC, Bukit Jalil, hari ini.

Ini bermakna pa­sukan yang ber­ada dalam dua kumpulan ber­kenaan akan mengharungi satu perlawanan tambah­an berbanding pasukan dalam Kumpulan B, C, D dan F yang hanya diisi empat pasukan.

“Sudah pasti laluan semakin sukar kerana Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan. Perlawanan pertama juga akan bermula 10 Ogos sekali gus menjadikan tempoh untuk mempersiapkan pasukan lebih singkat,” kata Ong.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria berkata, perkembangan terbaharu ini memaksa acara bola sepak dimu­lakan lebih awal iaitu 10 Ogos berbanding jadual asal 14 Ogos.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan masalah komunikasi kemungkinan berlaku yang menyebabkan dua pasukan berkenaan tercicir daripada undian pertama.

“Selepas undian pertama membabitkan 24 pasukan, terdapat bantahan daripada UAE dan Palestin apabila nama pasukan mereka tiada.

“Jadi, selepas penganjur meneliti semula, mereka mendapati menerima pengesahan daripada dua pasukan itu sebelum tarikh tutup. Jadi, kita tiada pilihan selain membuat undian sekali lagi,” jelasnya.