Hiburan

Pengarah Tanah Akhirku disisih kawan kerana beralih ke arus komersil

Pengarah muda teater tanah air yang sebelum ini kuat pertahankan konsep artistik, Naque  Ariffin mengakui dia kehilangan kawan sealiran apabila beralih ke arus komersial dalam pengarahan teater.

Aktivis lulusan Aswara itu mengambil risiko dibuang kawan apabila menerima tawaran mengarah teater Tanah Akhirku yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Ogos hingga 2 September ini.

“Saya terima kalau beginilah yang saya terima. Saya akui berbelah bahagi menerima tawaran mengarah teater ini kerana ia berkonsep komersial. Tapi setelah difikirkan masak-masak saya menerimanya.

“Saya akui pada mulanya berat untuk saya menerima, tapi memandangkan projek ini ada kena mengena dengan Aswara, saya jadi sentimental. Saya macam tak boleh mengelak apabila ada kerja yang bersangkutan dengan Aswara,” kata Naque.

Aeril Zafrel dan Mei Fen peneraju utama.

Teater tersebut terbitan pelajar Aswara, Mei Fen Lim yang juga kawan rapat kepada Naque yang dikenali semasa terlibat dalam pementasan teater bersama-sama tidak lama dahulu.

“Di sana kawan (aliran artistik) dan di sini (Mei Fen) juga kawan-kawan yang sangat memerlukan saya untuk bersama-sama mereka menjayakan Tanah Akhirku,” kata Naque yang bakal berlakon sebuah filem selepas ini.

Tanah Akhirku asalnya sebuah pementasan projek akhir tahun Mei Fen yang mendapat perhatian Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Johari Shaarani yang memberi peluang kepada mereka untuk dipentaskan secara komersil sempena sambutan bulan kemerdekaan di Istana Budaya.

Tanah Akhirku yang dibintangi oleh Aeril Zafrel dan Mei Fen sendiri sebagai teraju utama turut membariskan Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan, Nina Nadira dan ramai lagi termasuk pelajar Aswara sendiri.

Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng dan adiknya, lari daripada perang saudara di China dan mencari kehidupan baharu di Tanah Melayu.

Mereka bekerja di lombong biji tumah yang dikuasai oleh kongsi gelap Cina. Ketidakstabilan politik pada masa penjajahan British itu membuatkan kehidupan yang dilalui pada awalnya agak  sukar.

Lama-kelamaan cintanya terhadap Tanah Melayu semakin menebal apatah lagi dia jatuh hati dengan seorang pemuda Melayu. Yue Feng akhirnya memutuskan Tanah Melayu sebagai tanah akhirnya.

Ia mengajak penonton melihat pembentukan negara Malaysia melalui perseptif yang berbeza. Kaun Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada hari ini.

“Kehidupan saya sendiri di kampus yang bercampur dengan pelajar pelbagai kaum mencetuskan idea menerbitkan teater ini,” kata Mei Fen yang menerbitkannya melalui syarikat Gold Ray.

Teater ini akan dipentaskan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris yang turut disertakan sarikata. TIket dijual pada harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 boleh dibeli melalui laman  airasiaredtix.com.