Gaya Hidup

Pereka Malaysia ke pentas peraga New York September ini

Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) membariskan pereka selebriti dan popular ke pentas fesyen New York September ini.
Sebanyak 18 pereka Malaysia akan menyertai Malaysian Fashion & Business Mission ke New York untuk sertai dua acara sempena Minggu Fesyen New York.
Malaysia Day pada malam Couture Fashion Week New York pada 7 September ini membariskan Fazura, Rizman Ruzaini, Fizi Woo, Erma Fatima, Vee Shantie,  Datin Sharifah Shawati, Yustie Majid dan beberapa lagi melalui jenama masing-masing.

Rizman Ruzaini

Ia akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Times Square dengan jangkaan tetamu dari seluruh dunia.
Acara NYC@Live pada 13 September pula dengan jenama Shafinaz, Meraki Melon, Elevate, Hidha, U-Ollz dan MAGLifestyle dengan fesyen ready to wear.
“Penglibatan Peniagawati kali kedua ini adalah atas permintaan ramai berdasarkan kejayaan misi pertama yang disertai 40 usahawan ke New York tahun lalu,” kata Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Sharbani dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebahagian pereka dan rekaan mereka.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof.
Kejayaan itu dianggap sebagai mencapai objektif bagi memperkenalkan produk buatan Malaysia serta mengharumkan nama negara. Pada masa itu, produk berasas makanan dan gaya hidup juga menyertai, selain pereka fesyen.
Di samping memperkenalkan pereka fesyen Malaysia ke persada antarabangsa, misi dagangan itu juga akan disertai usahawan yang membawa produk serta perkhidmatan masing-masing.
Mohd. Redzuan memuji usaha Peniagawati yang berusaha membawa jenama Malaysia ke luar negara.
Beliau juga akan menyokong dan kementerian sentiasa sedia bekerjasama melalui agensi berkaitan yang menjurus ke arah pembangunan perniagaan.