Gaya Hidup

Pesta jualan buku terbesar dunia, Big Bad Wolf kembali Disember ini

JUALAN BUKU BIG BAD WOLF kembali lagi tahun ini dengan menawarkan lebih daripada 4.5 juta naskhah buku untuk penggemar buku di negara ini. Pesta interkenal sebagai jualan buku terbesar di dunia.

Jualan buku 24 jam ini dianjurkan selama 11 hari, bermula 7 hingga 17 Disember 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan dengan kemasukan percuma.

Terdapat lebih daripada 4.5 juta naskhah buku dengan potongan harga 75% – 95% dari harga runcit. Pengunjung juga boleh mendapatkan pilihan buku dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina daripada pelbagai kategori seperti buku jualan terlaris, novel remaja, buku kanak-kanak, novel romantis, sains, jenayah, seram, buku perniagaan, seni dan reka bentuk, buku masakan, dan banyak lagi.

Jualan Buku Big Bad Wolf yang ke-10 ini telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada tahun 2009. Meskipun perniagaan semakin maju, matlamat mereka tetap sama, iaitu memudahkan akses bahan bacaan untuk setiap lapisan masyarakat.

“Walaupun sudah bertahun-tahun menguruskan Jualan Buku Big Bad Wolf, komitmen kami masih kekal. Kami ingin terus memupuk budaya minat membaca dan berharap dapat  meningkatkan tahap celik huruf dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Pada pendapat saya, membaca adalah jambatan ilmu. Dengan adanya ilmu, ia dapat mendorong kita untuk melakukan apa sahaja,” kata Pengasas Big Bad Wolf Books, Andrew Yap dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi golongan pelajar sekolah, pelbagai jenis buku pembelajaran boleh didapati daripada penerbit buku tempatan yang terkenal seperti Kualiti, Sasbadi, Nusamas, Cemerlang dan Pelangi. Selain itu, penerbit daripada Karangkraf, PTS, Pakeer dan Pustaka Azhar juga turut menyediakan novel kontemporari Malaysia di jualan tersebut.

Untuk keterangan lebih lanjut, sila kunjungi www.bigbadwolfbooks.com.

 Ikuti #BBWKL2018 di:

FACEBOOK: fb.com/bbwbooks

INSTAGRAM: @bigbadwolfbooks