Hiburan

Presiden Papita, M. Daud meninggal dunia

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah AIr (Papita), Datuk M. Daud Wahid, 75, meninggal dunia di Hospital Seksyen 7, Shah Alam pukul 2.27 petang ini kerana kanser prostat.

Jenazah M. Daud atau nama sebenarnya Mat Dawod@Mat Daud akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Badak, Shah Alam selepas waktu Maghrib hari ini.

Adiknya, Mohd Dom Wahid mengesahkan kematian Allahyarham semasa dihubungi hari ini. Menurutnya, kesihatan Allahyarham merosot minggu lalu dan keluarga membawanya semula ke hospital pada Jumaat lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak.

Datuk M Daud ialah Presiden Papita yang banyak memperjuangkan kebajikan ahli-ahlinya tetapi sebelum aktif berpersatuan beliau merupakan seorang penyanyi yang popular pada  era 70-an dan lebih dikenali sebagai M Daud.

Selain popular sebagai penyanyi beliau juga merupa pemuzik, penulis lirik dan komposer terkenal bukan saja untuk lagu nyanyiannya tetapi untuk penyanyi-penyanyi lain terutamanya artis-artis di bawah label syarikat rakaman Life Records.

M Daud juga pernah menjadi PRO syarikat rakaman ini dengan artis antaranya Datuk DJ Dave, Fatimah Razak dan Zalifah Ibrahim.  Antara lagu popular ciptaannya ialah ‘Ku Tak Ingin Menangis Lagi’ nyanyian DJ Dave.

Bukan saja terkenal sebagai penyanyi solo, M Daud juga mempunyai pasangan duet album yang ramai.  Pasangan duetnya yang pertama Raja Norlela diikuti Fatimah Razak, Rohani Hashim, Zalifah Ibrahim dan terakhir Maladisa.  Bagaimanapun gandingan M Daud bersama Fatimah Razak dan Zalifah Ibrahim merupakan yang paling serasi.