Buletin

Tiga kategori baharu Anugerah Skrin 2018

Anugerah Skrin edisi ke-22 yang bakal berlangsung 2 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur memperkemaskan dengan memperkenalkan tiga kategori baharu.

Kali ini ada kategori Drama Rantaian Terbaik (Bahasa Cina), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian serta Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian yang menjadikan kesemua 30 kategori anugerah dipertandingkan.

Nad Zainal hebat lakonan dalam drama Fatonah Azali.

Ia merangkumi 14 kategori drama, tujuh kategori filem serta sembilam lategori bukan drama dan teknikal. Satu lagi kelaianan, sebanyak enam kategori bukan drama akan diraikan dalam slot istimewa siaran langsung Melodi ASK 2018 pada 28 Oktober mulai pukul 12.00 tengah hari.

Satu lagi kelainan yang cuba ditonjolkan dalam ASK2018 ialah ketiadaan hos utama sebaliknya penyampai akan bertindak dengan cara tersendiri untuk menyemarakkan malam anugerah.

Filem dan drama lakonan lakonan Erwin Dawson turut tersenarai akhir.

Penyampai yang dipertanggungjawabkan termasuk Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari, Ayda Jebat, Zahirah McWilson, Elly Mazlein, Sherry Al-Haddad, Izzue Islam, Sharnaaz Ahmad, Naz Habibur Rahman dan Shuk Sahar.

Acara hiburan pula menampilkan Wany Hasrita, Ernie Zakri & Shiha, Jaclyn Victor & Elvira Arul, Altimet & Amelia Henderson, Raja Shahiran & Shawn Lee, Andrew Lee, Alpha Movement serta kumpulan OAG.

Acara karpet merah yang akan disiarkan di saluran ntv7 pula menampilkan Aaron Al-Fateh dan Ain Edruce. Ia menerusi program Pop TV pada pukul 8.30 malam.

Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air yang telah bekerja keras menghasilkan sesebuah drama atau filem.

Pengiktirafan ini diharap dapat menyumbang perkembangan industri seni yang lebih baik dengan penghasilan karya yang lebih bermutu dan berkualiti.

DRAMA MANA UNGGUL KALI INI?

Calon-calon Drama Terbaik kali ini ialah 4K, Abang Kandung, Aku Nazmi, Cucu Atuk, Dosa Perempuan, Fatonah Azali, Kasih Seorang Ayah, Luyak, Nisaa, Pendosa Ingin Ke Syurga, Qalbu dan Tulus Cinta.

Drama Rantaian Terbaik pula disaingi Andainya Takdir 2, Isteri Untuk Diikhtiraf, Nafas, Nur, Raisha dan Teratai Kemboja. Untuk kategori Bahasa Cina pula membariskan drama Green Wall, Growth Behind The Sun, Persona 2, The Men In Black School dan The Memoir of Majie.

Drama Komedi Terbaik pula menyaksikan persaingan Aku Dia Lagu, Mak Cun 4, Mat Rukun, Suamiku Mat Piun dan Shah & Zam.

Bagi kategori filem pula, antara filem tercalon ialah Abang Long Fadil 2, Bisik Pada Langit, Blok 404, Bukan Cinta Malaikat, Buskers, Dukun, Hijabista Ballet, Kau Takdirku, Kau Yang Satu, KL Special Force, KL Wangan, Bikin Gempak, Perangsang Rentap, Pinjamkan Hatiku, Pulang, Rempit Sampai Langit dan Tombiruo: Penunggu Rimba.