Buletin

Travelog Jejak Lagu Rakyat Bersama AINUL AISHAH

Masih ingat lagu rakyat Ala Canggung, Anak Ayam, Anak Itik Tok Wi, Can Mali Can dan Ayam Den Lapeh L.

Sekadar menyebut beberapa tajuk lagu rakyat masyarakat Melayu yang popular sehingga kini. Realitinya lagu-lagu rakyat adalah warisan bangsa yang perlu dipertahankan.

Ainul menemubual wakil kumpulan Balle Balle

Ini kerana lagu-lagu rakyat bukan sekadar menghibur tetapi ianya banyak mengandungi unsur-unsur didikan secara tidak langsung. Ini jelas dapat dilihat dalam seni kata lagu-lagunya. Pada masa sama koleksi lagu-lagu rakyat ini melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa Melayu.

Bagi mengubati rindu terhadap lagu rakyat, bolehlah kita sama-sama hayati rancangan travelog tentang lagu rakyat bertajuk Senandung Rakyat (TV1) sebanyak 13 episodmulai 28 Oktober ini, setiap Ahad, pukul 11.00 malam.

Hos rancangan ini, Ainul Aishah telah menemuramah individu yang arif tentang lagu rakyat. Mereka akan berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan tersebut dalam bidang seni.

Beberapa buah lagu juga akan didendangkan untuk dikongsi dengan penonton serta bertemu dengan pemain lagu rakyat yang lain serta persembahan oleh sesebuah kumpulan kesenian yang berkaitan dengan lagu rakyat negeri yang terpilih.

Senandung Rakyat di Terengganu

Bermula dengan mengunjungi negeri Perak, Ainul Aishah bertemu dengan Tokoh Lagu Rakyat Perak iaitu Mohd Yusof Najmi Othman yang dikenali sebagai ‘Abah’.

Beliau berkongsi pengalaman sepanjang penglibatannya dalam seni lagu rakyat semenjak zaman beliau bersekolah.

Abah menyampaikan 2 buah lagu iaitu ‘Belotah’ dan ‘Tak Serentang’. Kemudian Ainul berjumpa dengan seorang penyanyi lagu rakyat Perak iaitu A Raman Aminudin@Farouk dan artis jemputan Illya membawa Ainul untuk melihat persembahan Kumpulan Sutera Melayu.

Ainul kemudiannya berkunjung ke Kuala Semantan, Pahang untuk berkongsi maklumat tentang lagu rakyat negeri Pahang bertemu dengan seorang penyanyi lagu Pahang yang masih lagi bergiat aktif iaitu En. Noor Azman atau lebih dikenali sebagai Man Kayan.

Senandung Rakyat melibatkan masyarakat

Ainul kemudiannya mewawancara Mohd Fauzi Abdullah yang merupakan seorang tokoh pengkaji lagu rakyat. Beliau berkongsi maklumat tentang peranan serta kaitan lagu rakyat terhadap masyarakat yang merangkumi pelbagai aspek. Ia diakhiri dengan nyanyian Seloka Pak Kaduk, Dendang Seloka dan Lemak Manis oleh Mohd Fauzi.

Di Melaka pula bertemu dengan Ariffin Uzir, seorang penggiat aktif Nazam Melaka, juara pertandingan Nazam Kebangsaan 2012. Ariffin juga berkongsi pengalaman beliau sepanjang dirinya terlibat dengan persembahan Nazam semenjak 20 tahun yang lepas.

Bukan itu sahaja, Ainul meneruskan kembara ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Di persekitaran Istana Seri Menanti, Ainul bertemu dengan seorang penggiat lagu rakyat Negeri Sembilan iaitu Mohamad Abdullah. Beliau merupakan seorang pengamal Bongai yang menyanyi sambil bermain rebana.

Ainul kemudiannya bertemu dengan Tokoh Teromba, Dato Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang sudi berkongsi maklumat seperti definisi Teromba serta sejarahnya. Destinasi Ainul yang seterusnya ialah ke Batu Kikir untuk bertemu dengan seorang lagi tokoh Bongai iaitu Pak Lang. Menarik kan?

Pemuzik di Terengganu

Haa… Dalam episod-episod selanjutnya, kita boleh tonton pengembaraan Ainul Aishah ke Melaka, Kuala Selangor (Selangor), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Kinabalu (Sabah) dan Miri (Sarawak).

Apa yang menarik, Senandung Rakyat juga mendalami lagu-lagu rakyat di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam serta beberapa bandar besar di Indonesia termasuklah di Kota Dumai; Riau, Pekan Baru, Langkat; Sumatra, dan Bandar Medan.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 

Teruskan layari instaonline.com.my  #instaonline

Facebook: Insta Online

Instagram: @instaonline.com.my_

Twitter: Instaonline.com.my(@instaonlineMy)