Hiburan Video

[VIDEO] Rakam single baru, Sofazr hormati BBNU

Kumpulan Sofazr sudah berusia 15 tahun. Mereka sempat menyepi tanpa sebarang lagu baharu selama beberapa tahun.
Tahun ini kumpulan yang popular dengan lagu Janjiku itu muncul bersama buah tangan terbaharu berjudul Takkan Mungkin.
Kala ini arus muzik sudah berubah dengan kemunculan artis dan komposer baharu mendominasi market. Lagu mereka menjadi siulan kerana artis senior semakin kurang hasilkan lagu baharu.
Sofazr juga sedar situasi itu dan mereka menghormati karya generasi baharu hari ini. Bagi mereka pelapis baharu sebagai penerus industri.
“Sebab itulah apabila hasilkan lagu baharu kami mahu hasilkan bunyi terkini, bukan terlingkup dalam lingkungan zaman kegemilangan kami dahulu.
“Dulu saya yang banyak cipta lagu untuk Sofazr, kali ini untuk nampak kelainan, single baharu kami ditulis oleh tiga anggota Sofazr iaitu One, Syah dan Fairuz,” kata Zimi.
Lagu Takkan Mungkin edaran Seventeen Eleven Music itu boleh dimuatturun di semua platform digital seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX dan Deezer mulai 19 November ini.
Lagu itu ciptaan anggota Sofazr sepenuhnya. Lagu ciptaan One, Syah dan Fairuz dengan One juga menulis lirik.
Lagu tersebut mengisahkan kekecewaan seseorang terhadap ketidakjujuran pasangannya lalu menghancurkan kepercayaannya sedikit demi sedikit.
One menulisnya berdasarkan pengalamannya sendiri serta kawan-kawan sekeliling.
Sementara itu Sofazr akan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 25 November ini mulai pukul 3.00 petang. Ia sebagai sambutan keberadaan Sofazr selama 15 tahun dalam industri muzik.
Showcase Sofazr Janjiku 15 itu turut menampilkan Amir Masdi dan kumpulan Treehill.
Sofazr juga mengaku mereka salah mencorakkan masa depan semasa nama berada di puncak. Mereka alami cultural shock dan lupa diri sehingga hampir menguburkan kumpulan itu. Kini mereka semakin dewasa dan matang tidak seperti zaman remaja dahulu.

Ikuti pengakuan Sofazr pasal kes lupa diri yang mereka dedahkan.