Hiburan

Zaibo meninggal dunia

Pelakon veteran Zainal Abidin Abdul Hamid atau Zaibo, 62, meninggal dunia di rumahnya di Rengit, Johor sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi kerana  kanser esofagus.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengeluarkan kenyataan media berkaitan pemergian Allahyarham hari ini.

Alllahyarham Zaibo

“Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan negara kehilangan seorang lagi insan seni tanah air iaitu pelawak berbakat besar Allahyarham Zainal Abidin Abdul Hamid atau lebih popular dengan nama pentasnya sebagai Zaibo pada usia 62 tahun..

“Menurut Isteri arwah, Siti Hawa Sawal beliau menghembuskan nafas yang terakhir lebih kurang jam 1.30 petang di rumah beliau di Batu Pahat, Johor akibat kanser yang dihidapi.

Beliau telah banyak berlakon didalam drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati penonton serta meninggalkan kesan kepada penonton. Antara drama lakonannya ialah Spanar Jaya, Under One Roof, Anna And The King dan beberapa lagi drama dan filem tempatan. Pasti peminat akan merindui telatah  beliau didalam sitkom popular Spanar Jaya suatu ketika dahulu.

Arwah Zaibo akan dimandikan dan disolatkan dirumah beliau di Rengit, Batu Pahat, Johor dan akan dikebumikan ditanah perkuburan Islam Rengit selepas solat Isyak,” menurut kenyataan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

Terdahulu Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh, Selangor pada September lalu untuk menjalani rawatan kanser taham empat yang dialaminya.