Hiburan

Zainal Abidin semarakkan Hari Malaysia di Dataran Merdeka

Penghibur terkenal  Datuk Zainal Abidin melalui syarikatnya Afrozapin Network akan mengadakan karnival sempena Hari Malaysia pada 16 September depan di Dataran Merdeka , Kuala Lumpur dengan pelbagai pengisian menarik.

Konsert Hari Malaysia yang dinamakan Terima Kasih itu akan diadakan sepanjang hari pada 15 September ini dan konsert kemuncak pada sebelah malamnya sehingga  menjelang detik 16 September untuk sambutan Hari Malaysia.

Ucap Terima Kasih kepada kerajaan

“Ia sebuah acara besar yang tak pernah dilakukan sebelum ini dan bertujuan mengucap terima kasih kepada kerajaan baru serta bertujuan menyatukan semua masyarakat Malaysia pelbagai kaum melalui muzik,” kata Pengurus Acara, Angelina Asmawi yang juga pengurus Zainal Abidin.

Konsert sebelah malam membariskan artis  popular seperti  Zainal Abidin sendiri, Datuk Awie, Datuk AC Mizal, Datuk Afdlin Shauki, Amy Search, Faizal Tahir, Ernie Zakri, Syamel, Farah Nadeera dan ramai lagi. Pengacara sepanjang sehari acara itu menggandingkan  AC MIzal, Awal Ashaari serta juruhebah  J. Jay dan Ean.

Acara sebelah siang pula lebih menjurus kepada acara yang menarik minat golongan muda. Ada persembahan dikir barat kontemporari dan pelbagai persembahan lain termasuk brassband daripada sekolah terpilih.

“Kita mahu membuat aktiviti yang lebih menjurus kepada anak muda agar kita boleh mendedahkan mereka pasal Hari Malaysia. Untuk itu kita mendekatkan mereka melalui acara hiburan, “ sambung Angelina.

Selain itu, seminggu sebelum tarikh itu, satu uji bakat pencarian bakat baharu pelbagai kebolehan akan diadakan dan dipertandingkan pada 15 September di pentas utama di Dataran Merdeka. Pemenang  akan turut bersama=sama muncul dalam konsert kemuncak.

“Inilah masa untuk sesiapa sahaja yang ada bakat untuk tampil uji bakat. Ia macam Malaysia Got Talent lah. Pelbagai bakat seperti silat mata, tarian, nyanyian, bermain muzik dan apa sahaja kebolehan  boleh ditonjolkan.

“Kita mahu mencungkil bakat baru generasi muda. Kita bagi mereka peluang membuat persembahan di pentas yang berskala besar,”sambung Angelina lagi.

Untuk menyemarakkan lagi acara, sebulan sebelum acara bermula, sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson akan  bersama-sama menyemarakkannya dengan mengibarkan bendera Malaysia ke seluruh negara.

“Pada hari sidang media iaitu sebulan sebelum tarikh itu, sekumpulan penunggang motosikal Harley Davidson akan bertolak dari WOW KL ke seluruh negara . Mereka akan menyerahkan bendera kepada penunggang lain di negeri yang mereka singgah untuk disambung oleh kumpulan penunggang lain ke destinasi  berikuitnya.

“Penunggang motosikal ini akan tiba semula di Dataran Merdeka menjelang 16 September nanti untuk mengibarkan bendera tersebut di Dataran Merdeka,” jelas Angelina.

Lebih menarik, sepanjang 30 hari kembara motosikal itu  akan disiarkan secara langsung secara online. Pihak penganjur juga sedang mengatur acara di setiap hentian untuk menyemarakkan lagi acara.