Hiburan

Ziana Zain sah cerai talak satu

Selepas berbulan-bulan naik turun mahkamah, akhirnya kemelut rumahtangga Ziana Zain terungkai dengan jatuhnya talak satu petang ini.

Armin Zaharin Ahmad Zambri melafazkan talak di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam sekitar pukul 2.50 petang di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Nizar Mohtar.

“Kamu berdua juga perlu mendaftarkan penceraian di Pejabat Agama Daerah Petaling.

“Berhubung isu penjagaan dan lawatan anak-anak, boleh memfailkannya di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Penceraian kedua-dua mereka mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang Keluarga Islam negeri Selangor 2003.

Ziana diwakili Peguam Syarie Yusfa Hanis Yussoff. Adik Ziana yang penyanyi tersohor tanah air, Anuar Zain turut muncul.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah.

Sepanjang perkahwinan sejak 9 Mei 1998, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Ziana kelihatan sebak dan menangis semasa ditemui media.

“Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik. Saya tidak pernah berdendam dan sudah lama memaafkan dia, saya doakan agar urusan dia dipermudahkan,” katanya.

Sukar menjelaskan apa yang dirasainya ketika ini namun dia bersyukur sebab semuanya sudah berakhir dengan baik.